CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, May 3, 2009

DI SINI KASIH SAYANG DAN CINTA KU TERTUMPAH

MAKKAH adalah sebuah bandar penting di negeri Hijau sejak daripada zaman sebelum Islam hinggalah ke hari ini, terletak di tengah Semenanjung Tanah Arab (Jazirah al-Arab) dan hampir dengan Laut Merah.

Makkah pada asalnya ialah sebuah wadi atau paya yang tidak ada apa-apa tumbuhan. Ini jelas seperti diterangkan melalui firman Allah yang bermaksud:

“Ya Tuhan Kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian dari keturunanku di lembah yang tiada mempunyai tanam-tanaman, di samping rumah suci-Mu. Ya Tuhan kami, supaya mereka mendirikan sembahyang, maka jadikanlah hati manusia cenderung kepada mereka, dan kurniakanlah buah-buahan untuk menjadi rezeki mereka.” - (Surah Ibrahim, ayat 37)


Menurut riwayat Al-Bukhari, orang yang mula-mula mendiami lembah itu ialah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar. Mereka dibawa Nabi Ibrahim ke situ dan hanya ditinggalkan bersama mereka sebuah karung kecil berisi buah tamar dan kendi berisi air.

Selang beberapa hari, maka habislah makanan dan minuman itu dan kering pula air susu Siti Hajar. Lantaran itu Siti Hajar berlari-lari anak antara Bukit Safa dan Maruah, untuk melihat jika ada air atau ada orang yang boleh memberi makanan kepada mereka.

Pada kali yang ketujuh kelihatan oleh Siti Hajar, malaikat menjelma sebagai burung yang sedang mematuk tanah dengan paruhnya dekat kaki Ismail dan tiba-tiba keluar air daripada tempat itu. Menurut riwayat lain, air itu terpancar di kaki Ismail waktu ia menangis dan menghentak kakinya di tempat itu. Air yang keluar itu lantas dikepung oleh Siti Hajar dan sekarang ia dikenali dengan nama telaga Zamzam.

Sejak itu, orang Arab datang ke Makkah untuk melihat anak bertuah itu dan lama kelamaan banyak yang terus menetap di situ, kerana senang mendapat air. Air adalah sumber penting di padang pasir, apa lagi timbulnya dengan cara agak luar biasa.

Tidak lama kemudian datanglah Nabi Ibrahim ke Hijaz untuk menziarahi puteranya Ismail, Nabi Ibrahim dapati betapa bertuah anaknya itu mendapat penghormatan yang besar daripada bangsa Arab. Mereka datang dari segenap penjuru Semenanjung Tanah Arab untuk menziarahi anak yang daripada kakinya terpancar air.

Oleh itu, Nabi Ibrahim bersama puteranya membina Kaabah, untuk dijadikan tempat mengerjakan syiar agama Ibrahim, seperti diterangkan dalam Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud:
“Ingatlah, ketika Ibrahim bersama Ismail mempertinggikan asas Baitullah (Kaabah) sambil berkata: Ya Tuhan kami terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang mendengar lagi mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua, orang yang patuh pada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat yang patuh juga, dan perlihatkanlah kepada kami peraturan dan tata-tertib mengerjakan haji, dan ampunilah kami sesungguhnya Engkau penerima taubat lagi penyayang.” - (Al-Baqarah, ayat 127-128)


Allah memperkenankan doa Nabi Ibrahim ini dan ditunjukkan kepadanya cara untuk mencapai maksud itu. Firman Allah yang bermaksud:
“Serukanlah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta. Mereka datang dari segenap ceruk rantau yang jauh.” (Surah Al-Haj, ayat 27)


Maka Nabi Ibrahim pun memberitahu dan menyeru manusia untuk mengerjakan haji dan seruan itu disambut oleh manusia seluruh alam. Sejak itu manusia daripada seluruh pelosok dunia datang ke Makkah al-Mukarramah untuk mengerjakan ibadat haji, tidak mengira bangsa dan warna kulit.

Dengan ini masyhurlah nama Makkah dan penduduknya pun bertambah ramai, lebih-lebih lagi pada musim haji. Bangsa Arab bersepakat melarang berperang dalam bulan haji ini, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Begitu juga di Rejab, kerana pada bulan ini banyak dikerjakan Umrah. Bulan itu mereka namakan “Al Asyhurul Hurum” (bulan yang diharamkan berperang). Mereka juga sepakat melarang berperang di Tanah Haram Makkah.

Pada masa Qusai bin Kilab (datuk Nabi yang empat) menjadi ketua di Makkah, beliau menubuhkan Darun-Madwah, iaitu Dewan Mesyuarat bagi penduduk Makkah. Beliau kemudian mengatur urusan berhubungan dengan Kaabah, iaitu As-Siqayah, menyediakan air minuman untuk jemaah haji.

Urusan lain ialah Ar-Rifadah, menyediakan makanan untuk jemaah haji, Al-Liwa (bendera menyeru untuk berperang) dan Al-Hijabah, menjaga kunci Kaabah.

Tugas itu diwarisi anak Qusai hinggalah kepada datuk Nabi Muhammad SAW, Abdul Mutalib bin Hashim. Orang Arab sentiasa berkunjung ke Makkah untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah hinggalah kedatangan Islam.

Apabila Islam menakluki Makkah dan menguasai Kaabah pada tahun 8 Hijrah, maka orang kafir tidak lagi dibenarkan mengerjakan haji di Kaabah.

Justeru, Makkah menjadi terkenal sebagai pusat agama mempunyai pemerintahan yang baik. Makkah juga terkenal sebagai pusat perdagangan dan perniagaan meliputi perniagaan di laut dan di darat. Perniagaan di laut dengan India, Cina dan Sumatera, manakala perniagaan di darat ialah dalam Semenanjung Tanah Arab serta negeri di sekitarnya.

Antara faktor yang menolong Makkah menjadi penting dalam lapangan perniagaan ialah perpindahan orang Yaman yang banyak pengalaman dalam perniagaan ke Makkah. Sejak itu ramai orang datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Arab Quraisy dihormati suku Arab lain kerana layanan baik mereka kepada jemaah haji.

Kota Makkah pula terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Arab. Ini menjadikannya sebagai tempat persinggahan kafilah yang berulang-alik dari Syam ke Yaman. Tambahan pula, di Makkah ada air yang dianggap penting bagi kehidupan padang pasir.

Perjalanan perniagaan berkembang pesat sejak zaman Qusai bin Kilab lagi, perjalanan ini menjadi lebih teratur pada zaman Hashim bin Abdul Manaf. Menurut riwayat At-Tabari, Hashim yang mula mengatur perjalanan Qurasiy, iaitu ke utara pada musim panas dan ke selatan pada musim sejuk.

Perjalanan iu diceritakan dalam Al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud:
“Untuk perlindungan kaum Quraisy, perlindungan mereka selama perjalanan di musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Kaabah yang memberi mereka makan pada waktu kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan.” - (Surah Quraisy, ayat 14)

0 comments: