CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, July 22, 2010

Doa buat Arwah Mak



Sebenih titisan embun pagi,
Secerah sinarnya mentari,
Bila ku tatap wajah mak,
Ada kehangatan di dalam hatiku,

Air wudhuk selalu membasahimu,
Ayat suci selalu dikumandangkan,
Suaramu penuh keluh dan kesah,
Berdoa utk putera puterinya,

Mak,engkaulah wanita,
Yang ku cinta selama hidupku,
Maafkan anakmu bila ada salah,
Pengorbananmu tanpa balas jasa,

Ya Allah, ampuni dosanya,
Sayangilah seperti menyayangiku,
Berilah ia kebahagiaan di dunia juga di akhirat...



Wednesday, July 21, 2010

Masjid Sebagai Permulaan

Memetik kata-kata penasihat kepada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya :

“Dunia menyaksikan bagaimana pejuang Hamas dan sangat terkejut. Warga Gaza selalu solat di masjid, dan dekat dengan masjid. Mereka menerapkan ajaran Islam di setiap sendi kehidupan. Inilah yang membuat gelisah musuh-musuh Islam.”

Sifat sangat mencintai solat di masjidlah permulaan awal kepada kemenangan Islam di Gaza. Maka ingatlah anak-anak ummi, solat berjemaah di masjid dan surau itu adalah amalan yang akan menyatupadukan umat Islam. Sebabnya kita bertemu, berjemaah, bermaufakat 5 kali sehari. Ketika solat,segala sifat-sifat mazmumah terbang. Jadi dengan mengamalkan solat jemaah sebenarnya kita mendidik diri dan hati kita agar berpadu dan bersatu.

Kita mungkin tidak mampu ke Gaza untuk melihat sendiri masyarakat Islam di sana. Namun, tidakkah kita melihat video yang baru-baru ini dirakam di Gaza ketika perang Israel-Palestin berlangsung? (lihat minit 0.29 - 0.40)






Ketika 60 jet pejuang Israel berlegar-legar di udara pada hari ke-7 (awal Januari 2009) perang Furqan berlangsung, umat Islam Palestin masih tetap berkumpul di masjid untuk solat berjemaah.

Bom-bom Israel tidak mampu menjauhkan warga Gaza dari masjid!

Berapa kali kita ke masjid dalam sehari? Atau dalam sebulan? Atau dalam setahun?

Adakah kita pernah menanam azam untuk solat 5 waktu 100% di masjid?

Jika masih mengambil ringan solat di masjid, kita masih belum bermula kerana masjidlah permulaan bagi kemenangan yang kita impikan.


Wasiat ummi untuk anak cucu yang ummi sayangi.

Membaca al-Quran Bersama Di rumah



Anak-anak ummi,ambiklah apa-apa yang ummi tulis di dalam laman ini sebagai nasihat dan wasiat dari ummi setelah ummi meninggal nanti. Ummi tidak tinggalkan harta kepada anak-anak ummi, ummi cuma boleh didik dan hantar anak-anak ummi menuntut ilmu sebagai bekal di dalam perjalanan menuju alam baqa'. Ummi mahu kita berkumpul bersama-sama di bawah naungan panji Nabi Muhammad SAW dilimpahi dengan rahmat dan kasih sayang Allah semasa di Padang Mahsyar nanti.


Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Ra’d ayat 28:

Maksudnya: '(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.'


Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’ pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam.


Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi al-Quran dengan baik. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian.


Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat.


Itu baca bersama-sama di dalam keluarga. Untuk memantapkan iman dan mendapat ketenangan dalam diri, mesti baca quran dan terjemahannya setiap hari walaupun satu ayat. Jadikan amalan wajib pada diri sendiri. Pastikan juga ada surah-surah tertentu yang dihafal agar ia menjadi ratiban dibibir dikala dugaan dan ujian datang.


Ini sahaja wasiat ummi buat anak-anak yang ummi sayangi.

Menghidupkan Sembahyang Berjemaah

Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam.


Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah.


Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama .


Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.

Thursday, July 15, 2010

Kunci Rezeki Yang Melimpah

Buat amalan hidup anak-anak ummi. Jika mahu kemurahan rezeki dari Allah SWT, selalu-selalulah bersedekah kepada yang memerlukan. Jadikan amalan rutin dalam kehidupan. Bersedekahlah apa sahaja, tak banyak sedikitpun cukup asalkan istiqomah dilakukan selalu.


Buat macam bentuk jadual, samada hari-hari atau seminggu. Sediakan peruntukkan itu. Jika ada yang tiba-tiba hari itu 2 atau 3 keadaan yang memerlukan bantuan,maka penuhi hajat mereka walaupun sedikit. Jangan biarkan mereka berlalu atau kita melewati mereka dengan tangan kosong.


Satu lagi contoh alaf ini,gemarnya orang berjaja barang-barang samada makanan atau buku atau apa sahaja barangan. Jika kita tidak mahu membeli, dan kita lihat yang menjaja barangan itu berupa makanan seperti keropok,atau ikan kering, memang keadaannya daif dan sangat-sangat berhajat untuk kita membelinya,maka belilah sedikit. Jika tak makan makanan itu,kita boleh berikan kepada orang lain.


Melainkan jika barangan seperti pencuci atau pembersih kereta, yang menjual berpakaian kemas,maka tolaklah dengan baik. Jika masih memujuk dan tidak mahu menghampakan, belilah dalam kuantiti kecil. Cakap padanya,kita hanya perlukan 1 sahaja,maka nilaikan dengan harga satu barang. Bila kita berikan pilihan,terpulang padanya,mahu menjual atau tidak. Jika yang menjaja itu buku,jika sudah ada tolak juga dengan cara baik. Jika rasa mahu menghadiahkan pada orang lain,pun bagus juga sekiranya kita memnag sudah ada.


Masa di Makkah, ramai saudara mara kita di sana. Tiap-tiap rumah yang ummi singgah dan bermalam, ummi dapati rumah mereka ini sering didatangi oleh orang-orang yang susah, hidup terlantar meminta makanan atau apa sahaja. Tuan rumah akan berikan walaupun hari itu sahaja lebih 5 orang yang datang. Sebab itu ummi lihat,mereka masak makanan dalam kuantiti yang banyak. Mula ummi fikirkenapa masak banyak-banyak,nanti tidak habis,akan membazir sahaja.


Rupanya tidak ada pembaziran, makanan yang lebih itu mereka simpan elok-elk dalam peti sejuk. Supaya bila ada yang datang meminta makanan ,makanan dah ada dan mereka akan berikan. Mereka sentiasa memastikan ada benda atau makanan untuk diberikan kepada orang fakir ini.Sekiranya ramai yang datang hari tu,makanan sudah habis,barulah mereka memberikan duit. Memberikan duit ada lah pilihan terakhir mereka.

Begitu juga sepanjang jalan apabila balik sahaja selepas solat subuh,akan banyak lori-lori mengagihkan makanan kepada musafir/ jemaah haji. Bukan semua jemaah haji yang datang itu orang yang berada, ramai juga mereka yang susah, tetapi kekuatan, kemampuan untuk perjalanan sukar dapat mereka tempuhi,maka mereka yakin dapat sampai ke Makkah untuk mengerjakan haji.

Memang nampak jelas,mereka-mereka yang suka bersedekah ini,hidupnya bertambah senang. Ini kerena keberkatan di atas setiap rezeki yang dikurniakan itu. Dalam setiap rezeki kita itu, ada rezeki orang lain juga. Ibarat rezeki yang dimakan oleh seorang ibu hamil,setiap yang dimakannya akan tersalur untuk bayi yang dikandungnya juga. Buat renungan bersama,Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” [Riwayat Bukhari & Muslim]


Pengajaran yang kita dapat ambil daripada hadis ini ialah Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya “Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)


Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini. Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.


Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.