CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, April 27, 2011

Mendapat Anak soleh

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”


Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.


Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang salihah.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis riwayat al-Bukhari.


Kedua, hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.


Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.


Ketiga, hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.


Keempat, seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.


Kelima, hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau pembunuhan pada anak tersebut.


Keenam, memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.


Ketujuh, memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.


Kelapan, memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.


Demikianlah antara hak-hak anak. Wallahua’lam

Tuesday, April 26, 2011

Mewarnai Kehidupan Seorang Anak

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



AYAH adalah pelukis kehidupan anak-anaknya. Bahkan kejayaan hidup anak adalah berpunca daripada hasil dorongan dan peranan ayah sebagai guru dan murabbi.

Kehidupan seorang ayah menampilkan bentuk kehidupan sebenar yang akan dimiliki anaknya pada satu masa nanti. Masa muda seorang anak adalah waktu mereka sentiasa ingin melihat perkara baru dan ingin mencubanya.


Mereka mula menapak mencari jalan hidupnya sendiri dan melakukan sesuatu yang mirip dengan apa yang dapat dilakukan ayahnya.


George Bernard Shaw mengatakan “Masa muda adalah masa terindah; sayang sekali orang muda suka mensia-siakannya.” Ayah adalah pengantar anaknya untuk masa muda dengan hal yang dapat mendatangkan manfaat.



Prinsip berkongsi manfaat yang diajarkan al-Quran kepada kita adalah kebaikan yang dilakukan kepada orang lain. Pada akhirnya akan kembali kepada pelakunya sendiri.



Kitalah yang akan lebih banyak menerima manfaat daripada orang yang menerima pertolongan kita. Allah SWT berfirman di surah Al-Isra’ ayat ke-7 yang bermaksud: “Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri.”


Sumbangan terbesar seorang ayah dalam hidup anaknya ialah ketika dia mampu membentuk anaknya menjadi insan yang soleh dan solehah untuk umat ini.


Mereka menjadi Muslim yang kuat, menjadi duta masyarakatnya dengan ilmu yang dimilikinya. Dari sahabat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan masing-masing memiliki kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan berasa malas, dan apabila engkau ditimpa sesuatu maka katakanlah “Qodarulloh wa maa syaa’a fa’al, ditakdirkan Allah dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi” (Hadis riwayat Muslim).


Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa yang ditujukan kepada orang tua, “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (Surah An-Nisa ayat 9).


Dalam tafsir, Ibnu Katsir mengatakan Ali bin Abi Thalhah berkata dari Ibnu ‘Abbas: “Ayat ini berkenaan dengan seorang lelaki yang meninggal, kemudian seseorang mendengar dia memberikan wasiat yang membahayakan ahli warisnya, maka Allah SWT memerintahkan orang yang mendengarkannya untuk bertakwa kepada Allah serta membimbing dan mengarahkannya kepada kebenaran.”


Kejayaan masa depan anak bukan kerana umur atau kemampuan yang dimilikinya. Seorang ayah semestinya melukis sebaik mungkin.



Kecantikan lukisan itu dilakar daripada kesesuaian warnanya.


Paduan warna yang indah disertai adunan warna yang anggun membentuk pelangi di langit. Warna biru dan putih membentuk warna air di laut lepas.


Warna hijau membentuk suasana pepohon yang berjajar terlihat anggun. Semua lukisan kreatif si ayah membentuk semua warna kehidupan si anak.


Mencipta kecemerlangan anak adalah tugas mulia seorang ayah. Mendidik anak sehingga berjaya adalah satu proses yang panjang. Tidak mustahil akan dipertemukan pada saat anak sudah berumur dan ayah menjelang umur kematian.


Proses penemuan ini memerlukan ketekunan, kekuatan kesabaran daripada orang tuanya, khususnya ayah. Sebab itu, dalam melukis masa depan anak, seseorang ayah ada tiga bekalan yang tidak boleh ditinggalkannya, iaitu sabar, sabar dan sabar.


Kesabaran seperti yang dimiliki Nabi Yaakub ketika menghadapi kejahatan abang-abang Nabi Yusuf sehingga membawa kehilangan anaknya yang tercinta itu.


Kesabaran Nabi Yaakub itu diabadikan Allah SWT di dalam al-Quran dalam Surat Yusuf ayat 18 yang bermaksud: “Dan mereka datang membawa baju Yusuf (yang berlumuran) dengan darah palsu. Berkata bapanya: Bahkan dirimu menghiaskan (memandang baik) urusan itu. Sabarlah yang lebih baik. Dan kepada Allah meminta pertolongan tentang apa yang kamu terangkan itu.” (Surah Yusuf ayat 18).


Pengetahuan seorang nabi tidak menjadikan Nabi Yaakub mengherdik anak-anaknya. Pengetahuan kenabian yang tidak diketahui anak-anaknya, tidak menyebabkan Yaakub membela pendapatnya, “Memang kamu salah, dan aku tahu aku yang paling benar.”


Akan tetapi Nabi Yaakub menguatkan kesabaran dengan mengucapkan, “Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku).”


Subhanallah

Saturday, March 19, 2011

Restu Mak

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Anak-anakku, sedari kamu semua di dalam kandungan ummi,tidak lekang dari hati ummi mendoakan kesejahteraan kamu semua.

Sepanjang hidup ummi bertemankan doa. Tiap saat dan detik yang ummi lalui hanya berharap moga-moga Allah memperkanankan doa ummi. Ummi titip doa kepada kamu semua tak kira masa atau dimana kamu semua berada.


Sejarah banyak menyusun khabar hidup dalam doa akan menyebabkan jiwa tenang dan bahagia. Berdoa adalah sifat hamba. Kenapa? Kerana seorang hamba mesti ada tuannya. Seorang hamba selaluberharap dan bergantung kepada tuannya.


Jangan lokek untuk berdoa. Mungkin hari ini tidak diperkanan hajat oleh Allah,insyaAllah akan tiba suatu saat yang sesuai dalam pandangan Allah doa itu akan dikabulkan. Jadi tugas kita ialah tetap berdoa dan terus berdoa.


Ikuti kisah restu ibu di dalam keberkahan menuntut ilmu kepada seorang anak. Ummi suka baca kisah teladan yang baik untuk ubat rindu kepada anak-anak yang sedang belajar.


Kisah ini yang menjadi kekuatan ummi ketika pertama kali berpisah dengan abang besar buat pertama kali ketika itu usia abang besar baru 12 tahun 3 bulan. Memang sedih, pilu,sayu sangat-sangat kerana ummi sangat rindukan anak sulong ummi ini. Ketika itu abang besar masuk belajar di Madrasatul Quran Kubang Bujok, Kuala Terengganu.


5 tahun abang besar mentelaah kitab dan menghafal al-quran. Alhamdullilah,doa seorang ibu itu tidak ada hijabnya dipandangan Allah. Tak ada hadiah yang lebih besar bagi ummi selain lengkapnya 30 juzuk al-quran di dalam dada mu anakku. Ummi tak mahu apa-apa,selain anak-anakku semua menjadi anak yang soleh dan solehah.


Begitulah juga dengan semua anak-anak ummi yang lain, tidak kira anak kandung atau anak angkat ummi. Doa sentiasa dipanjatkan kepada Ilahi buat kamu semua anak-anakku.


Ikuti kisah teladan ini yang menyuntik kekuatan rohani ummi selama ini...


Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.


Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.


Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”


Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.


“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”


Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu.


Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.


Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”

Wednesday, February 23, 2011

Hati Akan Mati

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Buat permata hati ummi...

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)


Ketahuilah anak-anakku, bahwa kedudukan hati manusia bertingkat-tingkat, ada hati yang hidup, hati yang mati dan ada hati yang sakit. Allah ta’ala berfirman:



أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا

“Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya?” (Al An’aam : 122 )


Hati yang hidup adalah hati yang ketika ditawarkan kepadanya kebatilan dan berbagai macam perbuatan keji, maka dengan kesadarannya dia akan menjauh darinya dan membenci perbuatan-perbuatan tersebut, bahkan tidak condong sedikitpun kepadanya.


Berbeda halnya dengan keadaan hati yang mati. Sesungguhnya hati yang mati tidak akan boleh membezakan antara kebaikan dan keburukan. Sebagaimana yang dikatakan oleh Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu :

هلك من لم يكن له قلب يعرف به المعروف والمنكر

“Celakalah bagi mereka yang tidak memiliki hati, yaitu hati yang bisa mengenal manakah kebaikan dan manakah keburukan”



Bagaimana untuk mengelak daripada 'hati mati'?


Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.


Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.


Orang yang hatinya mati tidak dapat membezakan antara kebaikan dengan keburukan. Mereka tidak dapat merasai kemanisan apabila melakukan perkara yang baik.


Ingatlah amaran Allah kepada golongan begini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata. (al-Zumar: 22)


Rasulullah SAW bersabda tentang cara bagaimana memastikan hati kita tidak mati. Bagi mengelak hati mati,Sabda baginda yang antara lain bermaksud :

Pertama, jangan tinggal majlis-majlis ilmu; kedua, jangan tinggal zikir pada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

Ketahuilah! Dengan mengingati Allah (zikir) itu tenang tenteramlah hati manusia. (al-Ra'd: 28)


Ketiga, jangan lupa membaca al-Quran, keempat, jangan tinggal bangun malam untuk qiamullail dan kelima, jaga pemakanan daripada yang syubhat.


Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati.


Sekian peringatan ummi buat semua permata hati ummi .



Wahai anak-anakku
Jadilah anak yang soleh


Tuesday, January 18, 2011

Asuhan Bermula Dari Rumah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.



Dalam pendidikan anak-anak, yang paling mudah diikuti ialah apa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Mereka ialah orang yang pertama dikenali dan paling rapat. Sewajarnya apa yang mereka didik dan asuh yang akan jadi ikutan samada melalui pemerhatian atau bimbingan.  Kenapa wajib memberi asuhan kepada anak-anak sedari mereka kecil?




Sesungguhnya kelak dihari kiamat setiap orang akan dimintai pertanggung jawaban diatas apa yang dipimpinnya. Bagaimana dengan diri dan keluarga kita?


Firman Allah yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu”.(At-Tahrim : 6)
Menjaga keluarga dari siksa api neraka adalah wajib hukumnya, sebagaimana disampaikan Allah dalam firman-Nya diatas. Yang menjadi pertanyaan barangkali bagaimana caranya kita melakukannya, tidak lain adalah dengan ilmu. Ilmu dapat membimbing, menuntun kita kepada jalan yang semestinya kita lalui, dengan ilmu kita terbimbing kepada tujuan yang kita harapkan yaitu Jannah.

Keteladanan merupakan faktor penting dalam sebuah pendidikan. Baik atau buruknya akhlak seorang anak sangat tergantung dari keletadanan yang diberikan oleh ibu bapanya.

Menurut Abdullah Nashih Ulwan, hal ini karena ibu bapa adalah contoh terbaik dan terdekat dalam pandangan anak, yang akan ditirunya dalam tindak-tanduknya dan tata santunnya, disadari ataupun tidak, bahkan tercetak dalam jiwa dan perasaan suatu gambaran orangtua tersebut, baik dalam ucapan atau perbuatan, baik material atau spiritual, diketahui atau tidak diketahui.

Betapapun suci dan bersihnya fitrah manusia, betapapun baiknya suatu sistem pendidikan tidak akan mampu mencetak/ membentuk generasi yang baik, tanpa adanya keteladanan dari sang pendidik ( ibu bapa ).


Anak akan tumbuh dalam kebaikan, memiliki kemuliaan akhlak, jika kedua ibu bapanya memberikan teladan yang baik, demikian pula sebaliknya, ia akan tumbuh dalam kesesatan, berjalan dalam kekufuran dan kemaksiatan, jika ia melihat kedua orang tuanya memeberikan teladan yang buruk. Tidak mungkin seorang anak belajar amanah, kemuliaan, sopan santun, kasih sayang dan sebagainya, jika kedua ibu bapa memiliki sifat yang berlawanan seperti dusta, kasar, suka mencela, pun sebaliknya.

Pendidikan keteladanan terbaik bagi anak, ialah jika kedua ibu bapa mampu menghubungkan anaknya dengan keteladanan Rasulullah SAW, uswah seluruh ummat manusia. Sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW:


“Didiklah anak-anakmu tiga perkara : cinta kepada Nabi mereka, cinta kepada sanak keluarga dan membaca Al-Qur`an ” ( H.R. ath-Thabrani )


Sekian , buah tangan buat anak-anak ku suatu ketika nanti apabila kamu semua menginjak dewasa,  ada panduan yang boleh diikuti seperti mana ummi dan ayah mendidik kamu sejak kecil dulu.


Anakku, jadilah anak yang soleh.
Pesanan bondamu

Friday, January 14, 2011

Cucu dengan Opah

Cucu dengan Opah

Dimana-mana kerinduan pada sikecil yang comel. Mereka inilah yang menjadi batu-batu permata syurga.