CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 12, 2009

ZURIAT YANG SOLEH DAN SOLEHAH

Wahai anak-anak ummi, jika ummi tiada, jadikan segala bahan dalam laman-laman ummi sebagai panduan untuk mendidik anak cucu kalian. Didiklah mereka menurut Al-Quran dan As-Sunah. Segalanya telah sempurna di dalam kedua-dua nya. Anak-anak ummi adalah permata hati ummi, kamu lah racun dan kamu jugalah penawar hati ummi, buah hati ummi. Kamu semua adalah anugerah Allah buat ummi.

Anak-anak merupakan anugerah daripada Allah S.W.T yang paling berharga kepada kedua-dua ibu dan bapa. Maka dengan itu, setiap pasangan yang telah pun mendirikan rumahtangga mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…” (al-Kahfi :46)

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat membahagiakan hidup mereka di dunia dan akhirat. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah pun meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (HR al-Bukhari)


Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Anak-anak hendaklah diberi pendidikan dan ajaran yang sempurna seawal yang mungkin iaitu bermula dari dalam kandungan lagi. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan. Oleh itu pasangan suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh.

Semasa isteri sedang mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Si bapa hendaklah bekerja dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Sesungguhnya keberkatan hidup berkeluarga lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal. Oleh itu, para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperolehi rezeki yang berkat dari sumber yang halal kerana rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak.

Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Antaranya peraturan semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut:

i- Azan dan iqamat.

Hendaklah segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la)

ii- Membelah mulut (tahnik).

Tahnik mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.

iii- Penyusuan.

Susu ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga kepada bayi. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu.

iv- Memberi nama.

Tanggungjawab ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“ Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya”. (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

v- Bercukur.

Menggunting rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut.

vi- Aqiqah.

Hukum Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud :
“Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.” (Hadis Riwayat Ahmad)

vii- Berkhatan.

Berkhatan termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud:
“Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” (Hadis Riwayat At- Tabrani)

Tatkala usia anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah mereka dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Pada usia kanak-kanak, kebanyakan daripada mereka mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah :-

1- Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik.

2- Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak.

3- Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa.

4- Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah.

5- Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.

6- Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.

7- Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang.

8- Menanamkan asas-asas keimanan

9- Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

10- Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.

11- Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.

12- Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya.

Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Di samping itu, mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka.

Setelah anak-anak menjangkau ke usia remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dengan akhlak, aqidah dan bidang syariah perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya dengan baik. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.

Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin. Pepatah ada mengatakan, “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya". Pepatah ini membawa makna supaya ibu bapa mendidik anak-anak dari awal agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka.

Panduan untuk mendisiplinkan anak
Di antara panduan untuk mendisiplinkan anak ialah :-

1. Ibu-bapa haruslah sepakat dan berbincang bersama-sama terlebih dahulu dalam mencorakkan peraturan-peraturan ataupun disiplin terhadap anak-anak supaya perlaksanaannya menjadi lebih sempurna.

2. Dalam mendidik anak-anak, perlu diingatkan kepada ibubapa supaya memahami prinsip mendisiplinkan anak-anak. Walaupun ibu bapa perlu bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak, namun jangan sesekali sampai ke tahap mendera anak-anak yang tidak mematuhi disiplin yang ditetapkan. Kebanyakan ibu bapa menyangka bahawa mendisiplinkan anak adalah dengan memarahi, memukul dan mendera mereka. Ini adalah anggapan yang salah. Disiplin mestilah dilandaskan atas perhubungan kekeluargaan yang baik, pujian tingkah laku yang baik dan tunjuk ajar untuk si anak bagaimana untuk menguasai peribadi dirinya sendiri. Anak-anak sering ingin merubah dirinya apabila mereka sendiri merasakan dorongan untuk menjadi baik dan dihormati, bukan apabila merasa terasa terhina dan dimalukan. Apabila anak tadi menghormati dirinya dan menghormati perhubungan antara dirinya dan ibu bapanya, barulah dia akan faham dan sedar betapa penting akhlak dalam kehidupan seharian. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:
"Dia yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani." (Riwayat Bukhari)

3. Proses mendisiplinkan anak haruslah bermula sebaik sahaja anak tadi dilahirkan. Apabila anda memberi anak anda perhatian setiap kali dia menangis, anda sedang mengajar anak anda bahawa anda sentiasa sedia untuk menolong dan memberi kasih sayang kepadanya dan dia boleh mengharapkan kasih sayang tadi dari anda. Dengan perasaan kasih sayang dan hormat inilah, anda harus bina kepercayaan dan kesopanan yang anda ingini. Rasulullah saw bersabda :
" Ajarilah anak-anak kecilmu kalimah Laa ilaaha illallah sewaktu ia mulai berbicara dan tuntunlah mereka untuk membaca Laa ilaaha illallah sewaktu menghadapi kematian."

4. Elakkan pergaduhan atau pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ini kerana pertelingkahan yang sering dilakukan didepan anak-anak anda akan mempengaruhi emosi anak-anak anda dan ini akan mengurangkan keberkesanan dalam mendisiplinkan anak-anak. Mereka dapat mempergunakan pertelingkahan antara ibu bapa tadi sebagai alasan untuk mereka mencapai hasrat hati mereka untuk melakukan dan meneruskan kenakalan mereka.

5. Ibu bapa harus bijak dalam menguasai dan mengendali anak-anak mereka. Ada sesetengah ibu bapa yang takut dengan anak-anak mereka sendiri. Ketakutan yang seperti ini dapat memberi kesempatan untuk anak-anak tadi untuk mempergunakan ibu bapa mereka.

6. Senaraikan undang-undang yang anda ingin anak anda patuhi dengan jelas dan bersesuaian dengan peringkat umur mereka supaya ianya mudah difahami dan dilaksanakan oleh anak-anak.

7. Ibu bapa haruslah bersabar dengan karenah anak-anak. Teguran mahupun nasihat haruslah diberi serta-merta supaya ia lebih berkesan. Teguran dan nasihat haruslah dilakukan dengan tegas tetapi berhemah. Contonya apabila berada di khalayak ramai, jangan sesekali memalukan anak-anak ini kerana ianya dapat memberi kesan yang negatif terhadap anak tadi. Lebih mustahak lagi, teguran dan nasihat tadi jangan dilakukan dengan marah kerana dalam keadaan marah ibu bapa akan hilang pertimbangan.

8. Sekiranya anak anda melakukan kesilapan, betulkan kesilapan mereka tanpa membuat dirinya rasa terhina dan tidak berguna. Betulkan kenakalannya, bukan dirinya. Hindari diri anda dari mengeluarkan kata-kata yang kesat seperti: "Bodoh betul kamu ni." Di samping itu, hindari diri anda dari berleter dan mengingatkan anak anda akan kesalahan-kesalahannya yang sudah lepas. Ini boleh membuatnya merasakan bahawa mereka memang tidak berguna dan bodoh.

9. Apabila anak anda melakukan sesuatu yang salah, tegurinya dengan kata-kata yang tenang. Beritahu anak anda bagaimana adab yang betul yang anda ingini. Terangkan mengapa perbuatannya salah dan apakah keburukan dan bahaya perbuatan salahnya tadi.
"Ajaklah kepada jalan Tuhanmu dengan menggunakan kebijaksanaan dan nasihat yang baik." [AnNahl :125]

10. Selepas anda menegur akan kesalahan yang mereka lakukan, terangkan kepada mereka bahawa anda menegur kerana anda amat menyayangi mereka dan mahu melihat mereka menjadi anak yang baik.

11. Berikan anak anda pujian atau hadiah jika dia telah dapat berubah. Ini akan menggalakkan anak anda untuk berbuat baik. Tetapi, jangan sampai anak anda menganggap bahawa dia akan menerima hadiah setiap kali dia berbuat baik. Dari kitab Tarikh Imam Bukhari: Rasulullah saw bersabda:
"Tiada pemberian ibubapa terhadap anaknya yang lebih utama daripada pendidikan akhlak yang baik."

Sunday, September 6, 2009

Nasihat untuk difikirkan

Telah diceritakan dalam kitab Tawabbih bahawa seorang lelaki yang pergi menemui Ibrahim Bin Adham lalu ia pun berkata kepada Ibrahim. "Hai bapa Ishaq (Ibrahim), aku telah menzalimi diri sendiri, maka terangkanlah kepadaku sesuatu yang menginsafkan diriku serta menyelamatkan hatiku daripada kegelapan." Lalu Ibrahim menjawab, "Jika engkau dapat menerima dan melakukan 5 perkara yang akan aku perkatakan, nescaya apa saja kesedapan yang engkau kecapi tidak akan memudaratkan dirimu." Lelaki itu pun berkata. Ingin tahu. "Apa dia? Katakanlah padaku wahai bapa Ishaq." Dan Ibrahim pun menerangkan kepada lelaki tersebut. Katanya, "Pertama, apabila engkau hendak menderhaka kepada Allah, maka janganlah engkau sesekali memakan rezeki kurniaan-Nya."

Tergamam lelaki tersebut seraya berkata,

"Dari mana lagi sumber rezeki di dunia ini hendak kucari selain rezeki kurniaan Allah?"

Ibrahim Adham pun mencelah,

"Wahai saudara, apakah patut dan wajar engkau memakan rezeki kurniaan-Nya, sedangkan larangan-Nya engkau ingkari?"

Tertunduk lelaki itu lalu mengakui kebenaran kata-kata Ibrahim. Ibrahim menerangkan lagi,

"Apabila engkau hendak menderhaka kepada Allah, maka janganlah engkau menginap di mana-mana pun di atas dunia ini, kerana dunia ini ciptaan Allah untuk hamba-hamba-Nya."

Termenung sejenak lelaki tersebut.

"Ini lebih hebat daripada yang pertama tadi. Kalau Timur dan Barat dan di antara kedua-duanya juga adalah milik Allah, maka di mana pula aku dapat meneruskan kehidupan."

Ibrahim lalu menjawab,

"Wahai saudara adakah wajar, engkau makan rezeki Allah dan tinggal di bumi-Nya, kemudian engkau derhaka kepada-Nya?"

Jawab lelaki tersebut,

"Tidak, wahai Ibrahim. Lalu apa pula yang ketiga?"

Ibrahim meneruskan lagi,

"Jika engkau masih berdegil, engkau mahu juga menderhaka kepada-Nya, sedangkan engkau makan rezeki-Nya dan tinggal di bumi hamparan-Nya, maka carilah tempat yang kiranya Allah tidak dapat melihat engkau melakukan perkara yang ditegah oleh-Nya. Jika engkau ketemui daerahnya, lalu perlakukanlah sesuka hatimu, langgarilah perintah Allah dan lakukan maksiat semahumu."

Lelaki itu pun berkata,

"Hai Ibrahim! Bagaimana dapat aku berbuat demikian sedangkan Allah Maha Mengetahui, malah Dia tahu apa yang tersembunyi sekali pun!"

Ibrahim pun menjawab,

"Wahai saudara, adakah patut engkau menikmati rezeki Allah, tinggal di bumi yang dicipta-Nya, menderhaka kepada-Nya walhal Allah mengetahui hakikatmu dan mengetahui setiap apa yang engkau lakukan, biarpun dalam sembunyi, apatah lagi terang-terangan?"

Sambung Ibrahim Adham lagi,

"Apabila tiba malaikat maut hendak mencabut nyawamu, maka katakanlah kepadanya, 'Berikanlah aku tempoh untuk bertaubat nasuha dan untuk beramal soleh kerana Allah.'

Jawab lelaki itu,

"Sudah tentu malaikat maut tidak menurut kataku. Malaikat maut hanya menurut perintah Allah."

Ibrahim meneruskan lagi kata-katanya,

"Wahai saudara, apakah dalam keadaan engkau tidak berdaya menolak maut untuk memberi ruang untuk engkau bertaubat, dan engkau juga mengetahui bahawa maut juga tidak menunggu lagi apabila tiba masanya, lalu engkau pula berharap engkau terselamat?"

Tunduk akur lelaki itu, membenarkan kata-kata tersebut. Ibrahim Adham berkata lagi,

"Apabila dating malaikat Zabaniah pada hari Kiamat hendak membawa mu masuk ke dalam neraka maka janganlah engkau mahu pergi bersamanya."

Lelaki itu menggeleng, katanya,

"Masakan boleh begitu. Mereka tidak akan melepaskan aku."

Ibrahim pun berkata,

"Jika begitu bagaimana engkau mahu selamatkan dirimu sedangkan dosa yang engkau lakukan pasti akan dibalas jika tidak bertaubat."

Lelaki itu benar-benar tersedar kini. Dia menyedari kesilapan sendiri. Jauh di sudut hatinya terdetik keinsafan.

"Wahai Ibrahim, cukuplah. Terlalu leka dan lalai aku selama ini sedangkan kehidupanku ini segalanya adalah kehendak Allah. Rezeki dan nikmat Allah terlalu banyak telah kurasai. Tidak sepatutnya aku melupakan-Nya apatah lagi mengingkari-Nya. Aku mohon keampunan Allah dan bertaubat kepada-Nya."

Ibrahim Adham terlalu gembira mendengar pengakuan lelaki tersebuat. Lelaki itu turut mengikuti Ibrahim melakukan ibadat.

...Semoga Allah memberi hidayah kepada kita...insya-Allah.

Saturday, September 5, 2009

Sakit Dan Ujian

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud “Adakah manusia menghitung mereka akan ditinggalkan begitu sahaja setelah mereka mengaku beriman (kepada Allah) sedang mereka tidak diuji? Maka Kami telah uji mereka (umat) yang terdahulu maka sesungguhnya dengan itu Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang dusta”.

Berdasarkan mafhum ayat di atas, jelaslah bahawa Allah telah menyediakan kepada manusia pelbagai ujian untuk menyaring manakah di antara mereka itu benar-benar beriman ataupun pendusta, iaitu secara zahirnya nampak macam orang-orang beriman tetapi pada hakikatnya mereka itu langsung tidak mengenal erti keimanan kepada Allah. Ataupun dalam perkataan lain mereka yang berpaling tadah.

Imam al-Qurtubi (671H) menceritakan daripada Ibnu Abbas ra “yang dimaksudkan dengan manusia di dalam ayat tersebut adalah orang-orang Islam di Mekkah yang telah disiksa oleh kaum musyrikin seperti Salmah bin Hisyam, ‘Iyyash bin Abi Rabi’ah, ‘Ammar bin Yasir dan sebagainya”. Maka dengan turunnya ayat ini mengajarkan bahawa telah menjadi sunnatullah yang akan menguji keimanan hamba-hambanya.


Nabi Muhammad SAW juga pernah ditanya berkenaan dengan ujian Allah ini kepada hamba-hambaNya, maka baginda menjawab “Golongan yang paling banyak menerima ujian adalah daripada kalangan para Nabi, kemudian orang-orang yang soleh sehingga mereka diuji dengan kemiskinan dan kemelaratan sehingga tidak ada yang dapat dijadikan pakaian melainkan kain yang telah usang”

Imam al-Qurtubi juga menegaskan lagi, “walaupun ayat ini turun khusus kepada umat di zaman Nabi, tetapi pengajaran dan aplikasinya berkekalan sehingga ke hari kiamat” iaitu Allah akan tetap menguji keimanan hamba-hambaNya. (Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 7/29.

Sebenar ujian

Apabila seseorang itu ditimpa sakit, maka seluruh manusia yang ada kaitan dengannya turut diuji oleh Allah. Pertama orang yang sakit itu sendiri, sekiranya sabar di samping mencari jalan agar penyakitnya sembuh akan mendapat pahala yang berganda-ganda. Kedua ahli keluarga yang menjaganya yang juga dituntut agar sabar melayani karenah anggotanya yang ditimpa musibah. Di sini kita dapat melihat kesabaran suami atau isteri serta anak-anak.

Seterusnya Allah menguji anggota masyarakat bermula dengan jiran tetangga. Sejauh mana keprihatinan mereka kepada jiran yang sakit itu. Adakah mereka peka serta melakukan amalan ziarah menziarahi bagi meringankan sedikit beban yang dipikul pesakit ataupun sebaliknya. Begitu juga pengamal-pengamal perubatan (atau kita namakan doktor, jururawat, staf hospital dan sebagainya) yang didatangi pesakit. Adakah mereka benar-benar ikhlas di dalam membantu pesakit atau sebaliknya hanya mementingkan motif perniagaan semata-mata. Bahkan yang difikirkan terlebih dahulu adalah sumber pendapatan mereka yang sangat lumayan walaupun kadang-kadang terpaksa memberikan pesakit dos (ubat) yang tidak sesuai.

Kesimpulan

Tidak ada seorang pun yang inginkan kesakitan (ujian dalam bentuk sakit). Apabila ditimpa sakit, seboleh-bolehnya akan dicari ubat berkesan dengan seberapa segera. Sebaliknya Allah suka kepada hamba-hambaNya yang sakit serta dapat pula mengambil peluang semasa sakitnya untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya. Bukan terhad kepada dirinya sendiri sahaja, malah seluruh manusia yang berurusan dan berkaitan dengannya termasuklah kaum keluarga (yang dekat maupun yang jauh) jiran-jiran sehingga kepada ahli masyarakat yang lain.