CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, October 22, 2010

Selamat Hari Lahir Untuk Aqbar dan Abdullah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kesibukkan dibulan  Ramadhan dan Syawal hingga tidak berkesempatan untuk ummi menulis sedikit catatan tarikh kelahiran anak-anak yang lahir di bulan September dan Oktober.




Di bulan September, anak ummi yang sulong dilahirkan. Detik-detik kelahiran Aqbar telah banyak ummi lakarkan di laman blog. Kelahiran  Aqbar . Aqbar lahir pada 23 September 1985, bersamaan 8 Muharam 1406 H. Di lahirkan pada pukul 3:30 pagi Isnin.




Tahun ini genap 25 tahun usia Aqbar. Hadiah yang ummi berikan Aqbar pada tahun ini sangat bermakna iaitu seorang isteri. Hadiah diberikan awal dari tarikh dilahirkan. Pada 22 Mei 2010, Aqbar selamat bernikah dengan seorang gadis dari Negeri Sembilan.






Bulan Oktober, anak ke 8, Abdullah Mubarak dilahirkan. Lahir pada 1 Oktober 1998.Hari Khamis bersamaan 9 Jamadil Awal 1419 H pada pukul 2:25 pagi. Tahun ini Malaysia menjadi penganjur Sukan Komanwel.


Cuti sekolah pada bulan September diawalkan bermula 4 September hingga 27 September. Oleh kerana Malaysia memenangi banyak pingat emas, pada 28 September ,hari Isnin diistiharkan cuti umum. Tarikh jangkaan melahirkan anak ialah 20 September. Jadi detik-detik sarat hamil ummi dapat berehat di rumah.


Tetapi hingga 28 September ummi masih belum bersalin,Selasa pergi jumpa doktor di Pusat Kesihatan. Doktor beri masa tambahan, sekira lewat 10 hari dari tarikh jangkaan,perlu masuk ke hospital. Selasa dan Rabu doktor berikan cuti sakit untuk berehat di rumah kerana ummi sudah lewat dari tarikh jangkaan.

Hari Rabu,barulah menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan anak. 30 September, zauj hantar ke hospital Sultanah Aminah ,Johor Bahru. Walaupun sudah keluar darah, maghrib dan isya' hari itu ummi masih sempat bersolat lagi.


Selepas solat isya' apabila kelihatan darah makin banyak yang keluar,ummi berehat di katil sambil membaca buku. Jika contraction tidak kuat ,ummi akan berjalan ke sana-sini di ruang tamu.


Dalam masa itu, beberapa kali jururawat di wad membuat periksaan pembukaan pintu servik. Cuma baru 2 cm. Jururawat itu memaklumkan ,masih lambat lagi baru bayi lahir. Tapi ummi tahu,keadaan sakit yang kuat menandakan kelahiran akan berlaku bila-bila masa sahaja. Ini berdasarkan pengalaman kelahiran anak-anak yang lalu.


Anak 1, 2 dak 3 lahir di rumah. Anak ke 4,cuma sempat masuk 'labour room' 5 minit, selepas itu dah lahir bayi. Anak ke 5, sempat masuk selama 2 jam, lepas tu lahir bayinya. Anak ke 6, tak sempat masuk 'labour room', bersalin atas katil wad sahaja.


Bila contraction makin kuat,walaupun pintu servik hanya 2 cm, ummi tahu, bayi sudah hampir untuk dilahirkan. Mulaknya ,jururawat berkeras tidak mahu menghantar ummi ke 'labour room' kerana ikut teori perubatan, bukaan servi 6 cm baru boleh hantar ke sana. Ummi ceritakan sedikit pengalaman lalu, ummi tak mahu bersalin di atas katil lagi, kerana sedikit sebanyak akan menyusahkan mereka juga.


Jururawat terpaksa juga hantar ummi ke 'labour room' dengan menyorong ummi dikerusi roda. Masa itu,memang ummi sudah tidak mampu untuk berjalan. Sampai di 'labour room' baru ummi dinaikkan atas troli untuk di hantar ke bilik kelahiran.


Tapi belum pun sempat ditolak troli, bayi telah pun lahir. Terkejut juga para doktor dan jururawat yang bertugas di situ. Ummi melahirkan anak di atas troli. Ummi kata "mujur sempat sampai ke ruangan ini,jika tidak tentu sekali lagi saya melahirkan anak di atas katil wad."


Walaupun kelihatan kandungan ummi besar saiznya, tetapi bayi yang lahir hanya 2.92 kg. Kurus sekali,berbeza saiz dengan anak-anak sebelum ini. Syukur ummi telah selamat melahirkan anak,dan anak sempurna keadaan fizikal dan mental. Lahir dengan tangisan yang kuat.


Ketika melahirkan Abdullah Mubarak, Aqbar sedang belajar di Madrasatul Quran Kubang Bujok , Terengganu. Aqbar masuk pada awal tahun, dan selama belajar di sana selepas menghantar ketika mendaftar masuk, ummi tidak pernah lagi datang menjenguk. Jadi Aqbar tidak tahu ummi hamil. Ketika cuti dihujung tahun,Aqbar terkejut bila balik ke rumah ada bayi kecil.


Kini Abdullah Mubarak telah berusia 12 tahun. Baru sahaja tamat menduduki peperiksaan UPSR.


Ummi sentiasa mendoakan anak-anak ummi dikurniakan iman yang sempurna,akhlak terpuji dan pekerti mulia. Sentiasa di dalam redha , rahmat dan kasih sayang Allah.

0 comments: