CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 14, 2009

Ahmad Baihaqi Permata Hati ku ke 5

Semalam 13 November 2009, Hari Jumaat, genap usia Ahmad Baihaqi 16 tahun. Subuh lagi selepas tahajud , ummi dah ingat hari ini, hari lahir Baihaqi. Mohon kepada Allah agar Baihaqi menjadi anak yang soleh ,didalam rahmat dan kasih sayang Allah. Lepas solat isyak, pergi makan sekeluarga ke Anjung Restoren sebagai meraikan hari lahirnya. Zauj baca 'doa selamat ' untuk kami sekeluarga.

Teringat semula perjanjian dengan Allah suatu ketika dulu, 15 tahun yang lalu, hidupnya Baihaqi hari adalah kerana rahmat Allah. Kenakalannya sebagai remaja, cuma satu dugaan ujian kepada ibu bapanya. Semasa Baihaqi tenat di NICU HSAJB, antara hidup dengan mati, risiko kematian lebih tinggi, solat hajat dan doa tidak pernah putus harapan ku kepada Allah.

Sepenuh hati ummi berharap dan bertawakkal kepada Allah. Usaha ummi ayah adalah dengan berikhtiar memberikan rawatan kepada Baihaqi agar sakit dan kesakitan yang tiba-tiba datang itu sembuh dan pulih.

Setiap detik hembusan nafas ummi, berdoa dan berharap jika hidup itu lebih baik buat Baihaqi, maka sembuhkan penyakit Baihaqi, panjangkan umurnya dalam rahmat MU, Ya Allah. Jika mati itu lebih baik, maka ambillah dia dalam rahmat dan redha MU juga. Ku pohon, berikan aku kekuatan untuk menghadapi ujian ini.





Betapa ketika itu kasih sayang ummi ayah melimpah kepada Baihaqi.Permata hati yang ummi susui, yang ummi kandung dan ummi asuh dari bayi. Kelahiran Baihaqi pada hari Deepavali, Isnin bersamaan 28 Jamadil Awwal 1414H, jam 8:40 malam memang dipermudahkan Allah. Lahir di HSAJB di sambut oleh Dr Jaijdon.


Selepas lahir, perkembangan Baihaqi baik dan sempurna. Tumbuh menjadi anak yang comel. Semasa ummi bekerja, Baihaqi dititpkan kepada Kakak Hasina, yang juga pengasuh kepada Amiratun Nazihah,kakak atas Baihaqi. Memang Baihaqi seorang anak yang sihat.

Namun ujian Allah datang ketika usia Baihaqi 8 bulan, tiba-tiba Baihaqi demam, di masukkan ke wad dan terus 'koma' dan ditempatkan NICU.(Unit rawatan rapi untuk kanak-kanak). Siang malam ummi ayah berdoa, bersolat hajat agar Allah mengurniakan suatu keajaiban kepada Baihaqi.

Sebulan selepas itu Baihaqi dapat dipulihkan dan terus menerima rawatan selama 4 bulan lagi sehingga disahkan benar-benar sembuh. Maka sebab itu , selalu teringat akan Baihaqi hidup kerana rahmat Allah, maka jika Baihaqi berbuat sesuatu yang boleh meyebabkan ayah marah , ummi akan ingatkan ayah bahawa Baihaqi adalah dalam rahmat Allah,adalah rahsia Allah kenapa Baihaqi bersikap begitu. Sabar sahaja dapat mengatasi rasa marah kepada Baihaqi.

Memang dalam setandan kelapa, bukan semua buahnya akan cantik dan molek untuk terus menjadi kelapa yang mempunyai santan. Selepas menerima berbagai rawatan, kesan ubat-ubatan, perkembangan kecerdasan Baihaqi agak terbatas.




Sebaik lepas sembuh sakit, Baihaqi memang terus boleh berjalan kerana sebelum sakit, Baihaqi dah mula bertatih,'jalan jatuh' . Cuma perkembangan minda yang agak lambat, ketika usia 5 tahun, baru Baihaqi boleh bercakap. Ketika di tahun 2 Sekolah Kebangsaan baru Baihaqi boleh membaca. Begitu juga perkembangan dari segi akademik yang agak berbeza dengan saudara kandung lain. Namun Baihaqi, siapa dan bagaimana Baihaqi, ummi sentiasa mendoakan Baihaqi menjadi anak yang soleh, dikurniakan kemurahan rezeki yang halal dan tidak terhingga,dipertemukan dengan jodoh yang baik di sisi Allah dan bahagia hidup di dunia dan akhirat.





Impian ku melihat anak-anak ku menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

0 comments: