CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 5, 2009

Sakit Dan Ujian

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud “Adakah manusia menghitung mereka akan ditinggalkan begitu sahaja setelah mereka mengaku beriman (kepada Allah) sedang mereka tidak diuji? Maka Kami telah uji mereka (umat) yang terdahulu maka sesungguhnya dengan itu Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang dusta”.

Berdasarkan mafhum ayat di atas, jelaslah bahawa Allah telah menyediakan kepada manusia pelbagai ujian untuk menyaring manakah di antara mereka itu benar-benar beriman ataupun pendusta, iaitu secara zahirnya nampak macam orang-orang beriman tetapi pada hakikatnya mereka itu langsung tidak mengenal erti keimanan kepada Allah. Ataupun dalam perkataan lain mereka yang berpaling tadah.

Imam al-Qurtubi (671H) menceritakan daripada Ibnu Abbas ra “yang dimaksudkan dengan manusia di dalam ayat tersebut adalah orang-orang Islam di Mekkah yang telah disiksa oleh kaum musyrikin seperti Salmah bin Hisyam, ‘Iyyash bin Abi Rabi’ah, ‘Ammar bin Yasir dan sebagainya”. Maka dengan turunnya ayat ini mengajarkan bahawa telah menjadi sunnatullah yang akan menguji keimanan hamba-hambanya.


Nabi Muhammad SAW juga pernah ditanya berkenaan dengan ujian Allah ini kepada hamba-hambaNya, maka baginda menjawab “Golongan yang paling banyak menerima ujian adalah daripada kalangan para Nabi, kemudian orang-orang yang soleh sehingga mereka diuji dengan kemiskinan dan kemelaratan sehingga tidak ada yang dapat dijadikan pakaian melainkan kain yang telah usang”

Imam al-Qurtubi juga menegaskan lagi, “walaupun ayat ini turun khusus kepada umat di zaman Nabi, tetapi pengajaran dan aplikasinya berkekalan sehingga ke hari kiamat” iaitu Allah akan tetap menguji keimanan hamba-hambaNya. (Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 7/29.

Sebenar ujian

Apabila seseorang itu ditimpa sakit, maka seluruh manusia yang ada kaitan dengannya turut diuji oleh Allah. Pertama orang yang sakit itu sendiri, sekiranya sabar di samping mencari jalan agar penyakitnya sembuh akan mendapat pahala yang berganda-ganda. Kedua ahli keluarga yang menjaganya yang juga dituntut agar sabar melayani karenah anggotanya yang ditimpa musibah. Di sini kita dapat melihat kesabaran suami atau isteri serta anak-anak.

Seterusnya Allah menguji anggota masyarakat bermula dengan jiran tetangga. Sejauh mana keprihatinan mereka kepada jiran yang sakit itu. Adakah mereka peka serta melakukan amalan ziarah menziarahi bagi meringankan sedikit beban yang dipikul pesakit ataupun sebaliknya. Begitu juga pengamal-pengamal perubatan (atau kita namakan doktor, jururawat, staf hospital dan sebagainya) yang didatangi pesakit. Adakah mereka benar-benar ikhlas di dalam membantu pesakit atau sebaliknya hanya mementingkan motif perniagaan semata-mata. Bahkan yang difikirkan terlebih dahulu adalah sumber pendapatan mereka yang sangat lumayan walaupun kadang-kadang terpaksa memberikan pesakit dos (ubat) yang tidak sesuai.

Kesimpulan

Tidak ada seorang pun yang inginkan kesakitan (ujian dalam bentuk sakit). Apabila ditimpa sakit, seboleh-bolehnya akan dicari ubat berkesan dengan seberapa segera. Sebaliknya Allah suka kepada hamba-hambaNya yang sakit serta dapat pula mengambil peluang semasa sakitnya untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya. Bukan terhad kepada dirinya sendiri sahaja, malah seluruh manusia yang berurusan dan berkaitan dengannya termasuklah kaum keluarga (yang dekat maupun yang jauh) jiran-jiran sehingga kepada ahli masyarakat yang lain.

0 comments: