CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, October 22, 2010

Selamat Hari Lahir Untuk Aqbar dan Abdullah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kesibukkan dibulan  Ramadhan dan Syawal hingga tidak berkesempatan untuk ummi menulis sedikit catatan tarikh kelahiran anak-anak yang lahir di bulan September dan Oktober.




Di bulan September, anak ummi yang sulong dilahirkan. Detik-detik kelahiran Aqbar telah banyak ummi lakarkan di laman blog. Kelahiran  Aqbar . Aqbar lahir pada 23 September 1985, bersamaan 8 Muharam 1406 H. Di lahirkan pada pukul 3:30 pagi Isnin.




Tahun ini genap 25 tahun usia Aqbar. Hadiah yang ummi berikan Aqbar pada tahun ini sangat bermakna iaitu seorang isteri. Hadiah diberikan awal dari tarikh dilahirkan. Pada 22 Mei 2010, Aqbar selamat bernikah dengan seorang gadis dari Negeri Sembilan.






Bulan Oktober, anak ke 8, Abdullah Mubarak dilahirkan. Lahir pada 1 Oktober 1998.Hari Khamis bersamaan 9 Jamadil Awal 1419 H pada pukul 2:25 pagi. Tahun ini Malaysia menjadi penganjur Sukan Komanwel.


Cuti sekolah pada bulan September diawalkan bermula 4 September hingga 27 September. Oleh kerana Malaysia memenangi banyak pingat emas, pada 28 September ,hari Isnin diistiharkan cuti umum. Tarikh jangkaan melahirkan anak ialah 20 September. Jadi detik-detik sarat hamil ummi dapat berehat di rumah.


Tetapi hingga 28 September ummi masih belum bersalin,Selasa pergi jumpa doktor di Pusat Kesihatan. Doktor beri masa tambahan, sekira lewat 10 hari dari tarikh jangkaan,perlu masuk ke hospital. Selasa dan Rabu doktor berikan cuti sakit untuk berehat di rumah kerana ummi sudah lewat dari tarikh jangkaan.

Hari Rabu,barulah menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan anak. 30 September, zauj hantar ke hospital Sultanah Aminah ,Johor Bahru. Walaupun sudah keluar darah, maghrib dan isya' hari itu ummi masih sempat bersolat lagi.


Selepas solat isya' apabila kelihatan darah makin banyak yang keluar,ummi berehat di katil sambil membaca buku. Jika contraction tidak kuat ,ummi akan berjalan ke sana-sini di ruang tamu.


Dalam masa itu, beberapa kali jururawat di wad membuat periksaan pembukaan pintu servik. Cuma baru 2 cm. Jururawat itu memaklumkan ,masih lambat lagi baru bayi lahir. Tapi ummi tahu,keadaan sakit yang kuat menandakan kelahiran akan berlaku bila-bila masa sahaja. Ini berdasarkan pengalaman kelahiran anak-anak yang lalu.


Anak 1, 2 dak 3 lahir di rumah. Anak ke 4,cuma sempat masuk 'labour room' 5 minit, selepas itu dah lahir bayi. Anak ke 5, sempat masuk selama 2 jam, lepas tu lahir bayinya. Anak ke 6, tak sempat masuk 'labour room', bersalin atas katil wad sahaja.


Bila contraction makin kuat,walaupun pintu servik hanya 2 cm, ummi tahu, bayi sudah hampir untuk dilahirkan. Mulaknya ,jururawat berkeras tidak mahu menghantar ummi ke 'labour room' kerana ikut teori perubatan, bukaan servi 6 cm baru boleh hantar ke sana. Ummi ceritakan sedikit pengalaman lalu, ummi tak mahu bersalin di atas katil lagi, kerana sedikit sebanyak akan menyusahkan mereka juga.


Jururawat terpaksa juga hantar ummi ke 'labour room' dengan menyorong ummi dikerusi roda. Masa itu,memang ummi sudah tidak mampu untuk berjalan. Sampai di 'labour room' baru ummi dinaikkan atas troli untuk di hantar ke bilik kelahiran.


Tapi belum pun sempat ditolak troli, bayi telah pun lahir. Terkejut juga para doktor dan jururawat yang bertugas di situ. Ummi melahirkan anak di atas troli. Ummi kata "mujur sempat sampai ke ruangan ini,jika tidak tentu sekali lagi saya melahirkan anak di atas katil wad."


Walaupun kelihatan kandungan ummi besar saiznya, tetapi bayi yang lahir hanya 2.92 kg. Kurus sekali,berbeza saiz dengan anak-anak sebelum ini. Syukur ummi telah selamat melahirkan anak,dan anak sempurna keadaan fizikal dan mental. Lahir dengan tangisan yang kuat.


Ketika melahirkan Abdullah Mubarak, Aqbar sedang belajar di Madrasatul Quran Kubang Bujok , Terengganu. Aqbar masuk pada awal tahun, dan selama belajar di sana selepas menghantar ketika mendaftar masuk, ummi tidak pernah lagi datang menjenguk. Jadi Aqbar tidak tahu ummi hamil. Ketika cuti dihujung tahun,Aqbar terkejut bila balik ke rumah ada bayi kecil.


Kini Abdullah Mubarak telah berusia 12 tahun. Baru sahaja tamat menduduki peperiksaan UPSR.


Ummi sentiasa mendoakan anak-anak ummi dikurniakan iman yang sempurna,akhlak terpuji dan pekerti mulia. Sentiasa di dalam redha , rahmat dan kasih sayang Allah.

Thursday, July 22, 2010

Doa buat Arwah Mak



Sebenih titisan embun pagi,
Secerah sinarnya mentari,
Bila ku tatap wajah mak,
Ada kehangatan di dalam hatiku,

Air wudhuk selalu membasahimu,
Ayat suci selalu dikumandangkan,
Suaramu penuh keluh dan kesah,
Berdoa utk putera puterinya,

Mak,engkaulah wanita,
Yang ku cinta selama hidupku,
Maafkan anakmu bila ada salah,
Pengorbananmu tanpa balas jasa,

Ya Allah, ampuni dosanya,
Sayangilah seperti menyayangiku,
Berilah ia kebahagiaan di dunia juga di akhirat...



Wednesday, July 21, 2010

Masjid Sebagai Permulaan

Memetik kata-kata penasihat kepada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya :

“Dunia menyaksikan bagaimana pejuang Hamas dan sangat terkejut. Warga Gaza selalu solat di masjid, dan dekat dengan masjid. Mereka menerapkan ajaran Islam di setiap sendi kehidupan. Inilah yang membuat gelisah musuh-musuh Islam.”

Sifat sangat mencintai solat di masjidlah permulaan awal kepada kemenangan Islam di Gaza. Maka ingatlah anak-anak ummi, solat berjemaah di masjid dan surau itu adalah amalan yang akan menyatupadukan umat Islam. Sebabnya kita bertemu, berjemaah, bermaufakat 5 kali sehari. Ketika solat,segala sifat-sifat mazmumah terbang. Jadi dengan mengamalkan solat jemaah sebenarnya kita mendidik diri dan hati kita agar berpadu dan bersatu.

Kita mungkin tidak mampu ke Gaza untuk melihat sendiri masyarakat Islam di sana. Namun, tidakkah kita melihat video yang baru-baru ini dirakam di Gaza ketika perang Israel-Palestin berlangsung? (lihat minit 0.29 - 0.40)






Ketika 60 jet pejuang Israel berlegar-legar di udara pada hari ke-7 (awal Januari 2009) perang Furqan berlangsung, umat Islam Palestin masih tetap berkumpul di masjid untuk solat berjemaah.

Bom-bom Israel tidak mampu menjauhkan warga Gaza dari masjid!

Berapa kali kita ke masjid dalam sehari? Atau dalam sebulan? Atau dalam setahun?

Adakah kita pernah menanam azam untuk solat 5 waktu 100% di masjid?

Jika masih mengambil ringan solat di masjid, kita masih belum bermula kerana masjidlah permulaan bagi kemenangan yang kita impikan.


Wasiat ummi untuk anak cucu yang ummi sayangi.

Membaca al-Quran Bersama Di rumah



Anak-anak ummi,ambiklah apa-apa yang ummi tulis di dalam laman ini sebagai nasihat dan wasiat dari ummi setelah ummi meninggal nanti. Ummi tidak tinggalkan harta kepada anak-anak ummi, ummi cuma boleh didik dan hantar anak-anak ummi menuntut ilmu sebagai bekal di dalam perjalanan menuju alam baqa'. Ummi mahu kita berkumpul bersama-sama di bawah naungan panji Nabi Muhammad SAW dilimpahi dengan rahmat dan kasih sayang Allah semasa di Padang Mahsyar nanti.


Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Ra’d ayat 28:

Maksudnya: '(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.'


Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’ pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam.


Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi al-Quran dengan baik. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian.


Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat.


Itu baca bersama-sama di dalam keluarga. Untuk memantapkan iman dan mendapat ketenangan dalam diri, mesti baca quran dan terjemahannya setiap hari walaupun satu ayat. Jadikan amalan wajib pada diri sendiri. Pastikan juga ada surah-surah tertentu yang dihafal agar ia menjadi ratiban dibibir dikala dugaan dan ujian datang.


Ini sahaja wasiat ummi buat anak-anak yang ummi sayangi.

Menghidupkan Sembahyang Berjemaah

Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam.


Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah.


Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama .


Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.

Thursday, July 15, 2010

Kunci Rezeki Yang Melimpah

Buat amalan hidup anak-anak ummi. Jika mahu kemurahan rezeki dari Allah SWT, selalu-selalulah bersedekah kepada yang memerlukan. Jadikan amalan rutin dalam kehidupan. Bersedekahlah apa sahaja, tak banyak sedikitpun cukup asalkan istiqomah dilakukan selalu.


Buat macam bentuk jadual, samada hari-hari atau seminggu. Sediakan peruntukkan itu. Jika ada yang tiba-tiba hari itu 2 atau 3 keadaan yang memerlukan bantuan,maka penuhi hajat mereka walaupun sedikit. Jangan biarkan mereka berlalu atau kita melewati mereka dengan tangan kosong.


Satu lagi contoh alaf ini,gemarnya orang berjaja barang-barang samada makanan atau buku atau apa sahaja barangan. Jika kita tidak mahu membeli, dan kita lihat yang menjaja barangan itu berupa makanan seperti keropok,atau ikan kering, memang keadaannya daif dan sangat-sangat berhajat untuk kita membelinya,maka belilah sedikit. Jika tak makan makanan itu,kita boleh berikan kepada orang lain.


Melainkan jika barangan seperti pencuci atau pembersih kereta, yang menjual berpakaian kemas,maka tolaklah dengan baik. Jika masih memujuk dan tidak mahu menghampakan, belilah dalam kuantiti kecil. Cakap padanya,kita hanya perlukan 1 sahaja,maka nilaikan dengan harga satu barang. Bila kita berikan pilihan,terpulang padanya,mahu menjual atau tidak. Jika yang menjaja itu buku,jika sudah ada tolak juga dengan cara baik. Jika rasa mahu menghadiahkan pada orang lain,pun bagus juga sekiranya kita memnag sudah ada.


Masa di Makkah, ramai saudara mara kita di sana. Tiap-tiap rumah yang ummi singgah dan bermalam, ummi dapati rumah mereka ini sering didatangi oleh orang-orang yang susah, hidup terlantar meminta makanan atau apa sahaja. Tuan rumah akan berikan walaupun hari itu sahaja lebih 5 orang yang datang. Sebab itu ummi lihat,mereka masak makanan dalam kuantiti yang banyak. Mula ummi fikirkenapa masak banyak-banyak,nanti tidak habis,akan membazir sahaja.


Rupanya tidak ada pembaziran, makanan yang lebih itu mereka simpan elok-elk dalam peti sejuk. Supaya bila ada yang datang meminta makanan ,makanan dah ada dan mereka akan berikan. Mereka sentiasa memastikan ada benda atau makanan untuk diberikan kepada orang fakir ini.Sekiranya ramai yang datang hari tu,makanan sudah habis,barulah mereka memberikan duit. Memberikan duit ada lah pilihan terakhir mereka.

Begitu juga sepanjang jalan apabila balik sahaja selepas solat subuh,akan banyak lori-lori mengagihkan makanan kepada musafir/ jemaah haji. Bukan semua jemaah haji yang datang itu orang yang berada, ramai juga mereka yang susah, tetapi kekuatan, kemampuan untuk perjalanan sukar dapat mereka tempuhi,maka mereka yakin dapat sampai ke Makkah untuk mengerjakan haji.

Memang nampak jelas,mereka-mereka yang suka bersedekah ini,hidupnya bertambah senang. Ini kerena keberkatan di atas setiap rezeki yang dikurniakan itu. Dalam setiap rezeki kita itu, ada rezeki orang lain juga. Ibarat rezeki yang dimakan oleh seorang ibu hamil,setiap yang dimakannya akan tersalur untuk bayi yang dikandungnya juga. Buat renungan bersama,Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” [Riwayat Bukhari & Muslim]


Pengajaran yang kita dapat ambil daripada hadis ini ialah Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya “Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)


Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini. Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.


Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

Friday, June 25, 2010

Memikirkan Rahsia Alam



Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahwa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.


Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.


"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.


Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.


Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?" Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahwa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."


Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."


Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik saja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"


"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini saja." Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. 'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali." Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."


"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahwa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.


Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahwa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair." Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahwa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."


'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahwa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya bahwa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu saja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.


Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.

Sunday, June 20, 2010

Api bermula dari ranting yang kecil

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.


Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"



Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu."

"Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."


Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."


Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."


Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Sunday, May 9, 2010

Kehinaan Anak Yang Tidak Berbuat Baik Kepada Ibubapa

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!”

Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab:
Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.[1]




Apabila ibubapa kita mencapai umur lanjut, lazimnya cabaran untuk berbuat baik kepada mereka menjadi lebih tinggi. Ini kerana umur yang lanjut selalunya sinonim dengan sifat yang lebih cerewet, celoteh yang pelbagai, kedegilan yang menjadi-jadi dan kesihatan yang semakin berkurang. Maka jika kita dapat bersabar dengan cabaran-cabaran yang kian bertambah ini, maka ia sebenarnya memudahkan lagi laluan ke syurga. Manakala jika kita tidak dapat bersabar, maka ia sebenarnya menyukarkan lagi laluan ke syurga.



Tidak berlebihan jika diumpamakan, berdasarkan hadis di atas, bahawa kita hendaklah memandang ibubapa yang sudah tua sebagai penjaga pintu syurga. Jika kita bersabar dan terus beristiqamah berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan membuka pintu syurga kepada kita. Sebaliknya jika kita hilang sabar dan tidak berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan menutup pintu syurga tersebut daripada kita.



Ibubapa yang sudah lanjut usianya juga telah mendapat perhatian di dalam al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya,atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra 17:23]




Berkata al-Qurtubi rahimahullah berkenaan ayat di atas:


Firman Allah: “Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu”: Keadaan ketika umur lanjut diistimewakan kerana dalam keadaan demikian, ibubapa sangat memerlukan bakti anaknya. Ini disebabkan keadaan mereka telah berubah menjadi lemah dan tua renta. Oleh itu dalam keadaan sedemikian, Allah mewajibkan untuk memerhatikan ibubapa melebihi perintah sebelum masa tersebut. Dalam keadaan usia lanjut, ibubapa menjadi lemah sehingga memerlukan rawatan sebagaimana dahulunya ketika kanak-kanak, seorang anak juga memerlukan rawatan ibubapanya. Atas sebab inilah keadaan umur lanjut diistimewakan.



Selain itu, hidup bersama (antara anak dan ibubapanya) dalam jangka waktu yang lama adakalanya menyebabkan seorang anak merasa berat, bosan dan banyak mengeluh sehingga menampakkan kemarahan kepada ibubapanya (yang sudah lanjut umur), menunjukkan urat lehernya yang menegang atau bahkan mencaci keduanya. Ini semua berlaku lantaran kedekatan hubungan seorang anak yang tidak diimbangi dengan nilai agama yang baik. Sikap buruk yang paling ringan ialah mengeluarkan nafas mengeluh.



Justeru (dalam suasana seperti ini) Allah memerintah (kepada anak) untuk bersikap kepada ibubapanya dengan tutur kata yang mengandungi kemuliaan, bersih daripada semua kecacatan. Firman Allah: “…janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan "Uff”, maksudnya, janganlah berbicara dengan ibubapa dengan ucapan yang mengandung isyarat kemarahan, sekalipun sedikit. Mujahid berkata: “Ertinya, apabila kamu (seorang anak) melihat ibubapanya di usia lanjut membuang air besar dan air kecil di sebarangan tempat sepertimana yang pernah terjadi kepada kamu apabila kamu masih kecil, maka janganlah mengeluh dan berkata “Uff” kepada mereka.”



Firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, yakni tutur kata yang halus dan sopan seperti “Wahai ayahku”, “Wahai ibuku”, tanpa menyebut namanya dan gelarannya. Ibn Baddah al-Tujaini berkata, aku bertanya kepada Sa‘id ibn Musayyab: “Semua jenis berbuat baik kepada ibubapa yang disebut dalam al-Qur’an telah aku fahami, kecuali firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia?” Sa‘id ibn Musayyab menjawab: “Seperti ucapan seorang budak yang melakukan kesalahan di hadapan tuannya yang berperangai kasar lagi keras.”[2]

Thursday, March 4, 2010

Didikan ibu bapa penentu akhlak anak


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.


Remaja adalah manusia yang tidak suka dikongkong dengan peraturan termasuk kekangan ibu bapa dalam mencari jati diri sebenar.

Justeru, dalam perjalanan yang panjang itu, mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai elemen termasuk persekitaran, rakan sebaya dan media massa. Remaja era 30-an, 70-an dan zaman siber mempunyai masalah yang sama, cuma persekitaran mungkin berbeza. Anak muda kini menghadapi krisis yang amat parah kerana mereka terdedah dengan pelbagai masalah sosial yang saban hari menjadi tatapan akhbar.
Seks bebas, minum arak, pembuangan bayi, lumba haram, rogol dan meragut antara beberapa kes membabitkan remaja masa kini.

Justeru, apakah kita tiada penyelesaian dan membiarkan masalah itu diwarisi turun temurun. Bagaimana dengan Islam, mengapa kita tidak mahu mengikut acuan Islam dalam membentuk remaja?


BERI DIDIKAN SEMPURNA…
anak adalah pelaburan besar yang bakal menjadi modal insan negara.



Rasulullah s.a.w membesar sebagai remaja yatim piatu tetapi Baginda mampu bangun sebagai manusia yang hebat. Apakah rahsianya?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara iaitu masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua dan masa kaya sebelum papa.” (Riwayat Hakim dan Baihaqi). Jelas Rasulullah s.a.w menerangkan perkara yang penting diberikan tumpuan.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Mu’az bin Jabal, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya.”

Namun kehidupan remaja tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai model ikutan sepanjang zaman kerana baginda memiliki keperibadian unggul dan terpuji.

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab ayat 21).

Watak Rasulullah dibentuk Allah melalui al-Quran. Sifat Nabi Muhammad terserlah daripada peribadinya yang mulia, bijaksana, bersederhana dalam kehidupan harian dan bersifat lemah-lembut.

Rasulullah s.a.w juga mampu membuktikan dirinya sebagai individu terbaik walaupun tanpa didikan, perhatian dan kasih sayang seorang ayah yang meninggal dunia ketika baginda masih di dalam kandungan.

Kemudian baginda menjadi yatim piatu selepas ibunya pula meninggal dunia dalam usia nabi begitu muda. Keperitan membesar tanpa kedua-dua ibu bapanya menjadikan Nabi Muhammad seorang yang matang dan berdikari.

Justeru, remaja harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutama sebagai remaja serta kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup.

Cara dan gaya mendidik remaja perlu bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah melatih mereka lebih bertanggungjawab memikul amanah yang Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.

Selain itu, Rasulullah ditonjolkan sebagai tokoh terbaik ketika baginda melalui zaman remaja. Ketokohan baginda sebagai ahli perniagaan terserlah kerana berjaya membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran.

Baginda terkenal sebagai pengembala kambing yang memiliki sifat amanah, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan. Bayangkan sejak berusia lapan tahun lagi, Nabi Muhammad sudah mula hidup berdikari dan mencari rezeki hasil usahanya sendiri.

Selain diri Rasulullah, ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat.

Rasulullah mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian dalam menegakkan agama Islam. Baginda menampilkan perubahan besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek teladan yang boleh dicontohi. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.

Saat yang berharga adalah semasa proses pendidikan awal kanak-kanak sangat penting bagi menentukan keperibadian anak apabila remaja.

“Proses tarbiah (pendidikan) sejak kecil adalah faktor terbesar dalam menyumbang serta menentukan kejayaan anak pada masa depan.

“Nabi Muhammad dihantar menyusu dengan suku kaum Saad kerana ia tradisi Arab Quraisy. Selain itu, ia bagi memudahkan si anak menguasai bahasa Arab yang tulen, biasa dengan kesusahan, tahan lasak dan hidup dalam persekitaran yang bersih.

"ibu bapa tidak boleh disalahkan sepenuhnya terhadap masalah sosial remaja hari ini. Anak-anak perlu bijak menilai baik atau buruk perbuatan itu dan dengan siapa mereka berkawan.

Sebelum remaja, anak perlu diberikan penekanan aspek sahsiah dan akhlak.Didikan dan komitmen ibu bapa terhadap pembangunan ilmu dan sosial perlu berlaku secara berterusan walaupun membabitkan pelaburan besar.

Rasulullah s.a.w menggariskan landasan utama bagi menyempurnakan akhlak terbaik untuk dijadikan ikutan. Usamah, anak angkat Nabi adalah contoh yang unggul.Usamah hidup dalam keluarga Rasulullah yang penuh dengan kasih sayang. Walaupun sibuk dengan tugas harian, Rasulullah sentiasa meluangkan masanya bermain dengan cucunya, Hassan dan Hussien.

Kasih sayang Rasulullah kepada cucunya itu menyamai kasih dan sayang diberikan kepada Usamah. Perwatakan Usamah sangat terserlah apabila meningkat dewasa.Inilah kesan didikan Rasulullah kepada Usamah walaupun bukan daripada keturunan baginda.

Jelas, keperibadian seseorang itu akan terbentuk melalui didikan ibu bapa. Jika baik perangai ibu dan bapanya di rumah, maka baiklah perwatakan anak mereka.

Anak diibaratkan seperti sehelai kain putih. Maka ibu bapa mereka yang bertanggungjawab mencorak anak mereka itu menjadi seorang Islam, Majusi atau Nasrani.

Tidak hairanlah, Rasulullah memerintahkan ibu bapa menitikberatkan soal akhlak dan solat terhadap anak seperti maksud hadis yang bermaksud: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur” (Hadis Abu Daud).

Perintah menunaikan solat juga termaktub dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa” (Surah Toha ayat 132).

Ibadah itu akan memberi kesan yang baik bukan saja terhadap diri, bahkan juga kehidupan masyarakat seluruhnya. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Tuhanku. Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku” (Surah Ibrahim ayat 40).

Jadi, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju kehidupan anak mereka selain mengurus masa dengan bijaksana.