CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Ibadah dan tidor. Show all posts
Showing posts with label Ibadah dan tidor. Show all posts

Friday, June 25, 2010

Memikirkan Rahsia Alam



Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahwa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.


Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.


"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.


Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.


Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?" Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahwa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."


Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."


Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik saja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"


"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini saja." Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. 'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali." Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."


"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahwa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.


Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahwa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair." Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahwa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."


'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahwa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya bahwa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu saja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.


Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.

Sunday, October 25, 2009

Jadikan Tidur anda Suatu Ibadah

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya.

Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang.

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah. Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerehatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik.

Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:"Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Riwayat Bukhari)




Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang.

Nabipun terus mengeluarkan arahan:"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur."(Riwayat Bukhari-Muslim)

Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.

Tidur secara yang manasabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.

Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh NabiMuhammad SAW: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.

Namun jika tidur yang berpanjangan terutama di siang hari adalah sesuatu yang akan membawa kemudaratan diri. Tidur yang melawan fitrah. Waktu malam berjaga dengan melakukan perkara sia-sia seperti bermain game, melayari internet, berborak-borak hingga keawal pagi.

Selepas sahaja azan subuh, mata rasa mengantuk, terus tidur sehingga jam 2 atau 3 petang. Ini yang dikatakan melawan fitrah, lainlah jika tidak tidur kerana terpaksa bekerja mengikut shif.

Tidur yang berlebihan menyebabkan rasa malas, otak lembab, berat badan naik dan sentiasa merasa lesu.

Tetapi bagaimana pula keadaan orang bekerja, pada hari-hari biasa bangun awal , bila hujung minggu sengaja bangun lewat.Apa yang berlaku kepada tubuh badan secara biologi?

Mengapa badan mereka sering menjadi letih walaupun mereka merasakan tidur mereka mencukupi. Ini satu soalan yang menarik dan kita sebenarnya perlu memilikki maklumat yang betul agar kesihatan dan akhirnya cara hidup kita menjadi suatu yang paling baik untuk diri kita.

Sebenarnya ramai di kalangan kita yang bangun awal setiap hari untuk pergi bekerja. Tetapi pada hujung minggu ataupun pada hari cuti kita tidur berlebihan daripada biasa. Segelintir daripada kita akan tidur hingga ke tengahari dengan alasan untuk memperolehi kerehatan sepenuhnya yang tidak di perolehi pada hari-hari bekerja.

Sebenarnya tindakkan ini adalah satu tindakkan yang salah. Mengikut Timothy Rogers, Pengarah Pusat Kajian Masalah Tidur dari Hospital Henry Ford di Detroit, beliau berkata cara tidur sedemikian rupa mengganggu pusingan Biologi ataupun Biological Clock.

Pusingan biologi dalam badan kita ini sebenarnya mempengaruhi kesihatan dan kerehatan kita. Lantas andaikata cara tidur kita seperti yang saya sebutkan tadi iaitu pada hari-hari bekerja kita bangun awal secara rutin tetapi di hujung minggu atau cuti umum kita tidak lagi mengikut jadual itu, kita bangun tidur lewat sebagai contohnya.

Maka cara tidur begitu merosakkan jam biologi yang terdapat dalam badan kita.Natijah atau hasilnya ialah badan kita menjadi letih walaupun tidur kita mencukupi.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam diri kita?

Yang berlaku ialah jika kita bangun tidur tidak mengikut rutin biasa, pengeluaran hormon yang bernama Cortisol terganggu. Hormon cortisol ini ialah hormon kecergasan. Bila kita bangun dari tidur kemudian bergerak dan kita aktifkan diri kita, kita sebenarnya di pengaruhi oleh hormon cortisol.

Hormon ini di keluarkan oleh badan pada waktu-waktu tertentu sebagai contoh andaikata kita bangun tidur pada pukul 6 pagi, maka hormon ini akan dikeluarkan oleh badan lebih kurang pada pukul 3 pagi sebagai persiapan untuk kita bangun dan aktif.

Lantas badan kita akan terus mengeluarkan hormon kecergasan ini pada pukul 3 pagi andaikata di setiap pagi kita bangun tidur pada pukul 6 pagi. Jika rutin ini kita hormati insyaallah kita akan cergas dan tidak akan letih.

Sebaliknya andaikata kita tidak bangun tidur pada pukul 6 pagi sedangkan hormon kita menjangkakan kita akan bangun tidur pukul 6 pagi dan ia telah keluarkan hormon pada pukul 3 pagi. Tiba-tiba kita tidak mengikut rutin itu. Pada suatu ketika kita bangun tidur pada pukul 10 pagi, akan berlaku gangguan pada badan kita. ketika itulah kita keletihan.

Sebenarnya latihan yang kita ambil daripada Ramadhan cukup indah dan cantik. kita bangun tidur pada waktu sahur. Ini sebenarnya latihan islam. Latihan yang sepatutnya kita sambung di luar musim Ramadhan.

Selama lebih kurang sebulan kita bangun tidur di waktu sahur, katakanlah lebih kurang pukul 5 pagi. Waktu sahur ini satu waktu yang barakah. Waktu yang di penuhi rahmat. Sebab dalam Al-Quran, lebih khusus dalam Surah Al-Imran. Allah swt memuji satu golongan manusia. Allah berkata bahawa golongan manusia seperti ini dikasihi aku kata Allah. Satu diantara ciri yang ada pada mereka ialah Wal mus taqfirin nabil azhar, Mereka bangun tidur diwaktu sahur.

Kalimat Al-Quran, Azhar ertinya waktu sahur. Mereka bangun tidur diwaktu sahur dan meminta ampun kepada Allah diwaktu itu. Lantas andaikata kita bangun tidur setiap hari pada waktu sahur lebih kurang pukul 5 atau 5.30 pagi dan ini berterusan setiap hari, tidak hanya di musim Ramadhan.

Kita mengambil kesempatan bangun di waktu sahur untuk beristiqhfar kepada Allah, meminta ampun, berdoa, bermunajat dan mungkin juga kita bersolat tahajjud, bersolat hajat bermohon kepada Allah meminta segalah kebaikkan atau hasanah di dunia ataupun di akhirat.

Masyaallah kita insan yang special disisi Allah dan di dunia sebab dengan cara demikian hormon cortisol kita akan di keluarkan oleh badan secara rutin tanpa terganggu dan natijah daripada itu jadilah kita insan yang cergas, sihat, tidak hanya sihat fizikal juga sihat spiritual.

Sayangnya latihan Ramadhan yang telah kita hayati sebelum ini kita rosakkan di musim Syawal. Ramai yang tidak lagi bangun tidur awal di waktu sahur bila kita masukki Syawal. Ada setengahnya subuh pun tidak sembahyang, tetapi di musim Ramadhan dia alhamdulillah melaksanakan solat subuh sebab dia bangun awal.

Di sebelah malamnya dia bersolat Tarawih. Masuk Syawal memang tidak ada tarawih, namun kita wajib melaksanakan solat yang lima. Solat yang lima itupun tidak dia lakukannya. Solat subuh pun dia tidak melakukannya.

Ketika itu dia mendapat 2 kerugian. Kerugian pertama ialah ruhnya tidak lagi bercahaya. Kedua dia tidak lagi menjadi insan yang sihat sebab waktu tidurnya sudah berubah. Ketika itu pengeluaran hormon kecergasannya terganggu. Dia rugi spiritual dan jasadiah.